KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membantu membina wad hibrid Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini bagi menambah 10 lagi katil ICU di hospital terbabit.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, kerja-kerja pembinaannya akan dimulakan pada Februari depan supaya hospital berkenaan memiliki tambahan sebanyak 10 lagi katil ICU.
Selain itu, kerajaan negeri turut bersetuju membantu memasang paip gas di hospital itu yang kosnya sekitar RM500,000 bagi menambah 40 katil pesakit, katanya selepas mengadakan lawatan kemudahan pesakit Covid-19 HUS di sini hari ini. Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
Douglas Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memberitahu, kemudahan itu adalah sebagai persediaan sekiranya kes Covid-19 di negeri ini kembali meningkat.
"Kita perlu bersedia bagi menghadapi yang terburuk sungguhpun jumlah kes Covid-19 dilaporkan setiap hari menunjukkan penurunan berbanding September 2021,” katanya dan menegaskan, Kerajaan Sarawak telah menyumbang RM1.3 juta bagi membantu membina sebanyak 36 "ventilation point" di wad ICU Hospital Umum Sarawak.
Ventilation point itu sudah siap dan mula digunakan wad ICU hospital itu, katanya.
"Kita pernah kekurangan ventilation point ini suatu masa dulu dan sebab itulah kerajaan negeri membantu membinanya," katanya.
Beliau juga mengesahkan hospital medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah ditutup di HUS dan di hospital utama lain negeri ini serta tiada keperluan mewujudnya semula berikutan kes Covid yang rendah.
Mengenai kes Covid-19 varian Omicron di Sarawak, Douglas mengesahkan varian itu ada dikesan di negeri ini tetapi tiada butirannya ketika ini.
Beliau menggesa rakyat di negeri ini supaya mendapatkan vaksin dos penggalak Covid-19 dan sentiasa berwaspada semasa menyambut Tahun Baharu Cina.
Sumber dari : Jiwa Bakti